SISA JADI EMAS: INISIATIF LESTARI PROJEK BAJA KOMPOS (PBK) PMU

Bagi menyemarakkan budaya kelestarian di kampus, JK SmartGreen PolyCC Politeknik Mukah (PMU) telah berjaya melaksanakan Projek Baja Kompos (PBK) yang bertemakan "Transformasi daripada Sisa kepada Emas". Projek yang berpusat di kawasan Kantin PMU ini telah bermula pada 12 Januari 2026 (Isnin) dan dilaksanakan secara berterusan sebagai salah satu inisiatif pengurusan sisa lestari di kampus.

Melalui projek ini, sisa organik seperti sisa sayuran, sisa buah-buahan, kulit telur, daun kering dan serbuk kopi yang dihasilkan di kantin serta persekitaran kampus tidak lagi dibuang begitu sahaja. Sebaliknya, sisa-sisa tersebut diurus secara sistematik dan diproses melalui kaedah pengkomposan bagi menghasilkan baja kompos yang bernilai tinggi. Baja yang terhasil kemudiannya dimanfaatkan untuk penanaman landskap PMU, projek komuniti serta aktiviti penghijauan kampus.

Projek berimpak tinggi ini amat istimewa kerana dilaksanakan dengan kos yang minimum melalui penggunaan bahan dan peralatan guna semula serta kitar semula. Walau bagaimanapun, manfaat yang diperoleh adalah amat besar, antaranya:

  • Mengurangkan penghantaran sisa pepejal organik ke tapak pelupusan sampah secara berterusan
  • Menjimatkan kos pengurusan landskap institusi (Impak Ekonomi)
  • Meminimumkan pelepasan gas rumah hijau (Impak Alam Sekitar)

Usaha murni ini turut menyokong pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals - SDG) berikut:

  • SDG 11: Bandar dan Komuniti Mampan
  • SDG 12: Penggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab
  • SDG 13: Tindakan terhadap Perubahan Iklim
  • SDG 15: Kehidupan di Darat

Sekalung tahniah dan syabas diucapkan kepada Pengarah Program, Ts. Hamadi bin Ahmad, barisan jawatankuasa JK SmartGreen PolyCC PMU, rakan sinergi iaitu Pengurusan Kantin PMU, serta seluruh warga PMU yang telah memberikan sokongan dan komitmen dalam menjayakan inisiatif ini.

Semoga projek ini terus menjadi pemangkin kepada amalan pengurusan sisa yang lebih mampan serta memperkukuh komitmen PMU dalam melestarikan alam sekitar demi kesejahteraan generasi masa hadapan.

 

Galeri: