KEMPEN KITAR SEMULA MINYAK MASAK TERPAKAI: "DARI DAPUR KE DOMPET"

Kempen Kitar Semula Minyak Masak Terpakai bertemakan "Dari Dapur ke Dompet" anjuran JK SmartGreen PolyCC Politeknik Mukah (PMU) telah melabuhkan tirainya dengan jayanya. Fasa kemuncak, iaitu Hari Penjualan Minyak, telah berlangsung pada 13 Jun 2026 (Sabtu) bertempat di Lobi JKE/JKA, PMU.

Kempen yang telah bermula dengan fasa pengumpulan di kediaman masing-masing sejak 6 Mei 2026 ini mensasarkan penglibatan warga PMU serta komuniti setempat. Berkat sokongan padu daripada semua pihak, objektif untuk mengitar semula sambil menjana pendapatan telah berjaya direalisasikan.

PENCAPAIAN KEMPEN

Sepanjang kempen ini, sebanyak 597 kilogram minyak masak terpakai telah berjaya dikumpul dan dijual kepada rakan strategik pengitar semula berlesen, iaitu syarikat Sekitar Bumi Hijau Sdn. Bhd. Jualan tersebut telah berjaya menjana kutipan tunai sebanyak RM1,194.00.

Inisiatif pengurusan sisa cecair secara lestari ini membuktikan bahawa sisa dapur bukan lagi satu beban, sebaliknya merupakan peluang untuk menjana pendapatan secara mampan. Di samping itu, program ini menyokong sepenuhnya Misi Kampus Lestari PMU dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), terutamanya:

  • SDG 11: Bandar dan Komuniti Mampan
  • SDG 12: Penggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab
  • SDG 13: Tindakan terhadap Perubahan Iklim

Tahniah dan jutaan terima kasih diucapkan kepada Pengarah Program, Pn. Nur Shaminie Binti Wakimin, seluruh urus setia JK SmartGreen PolyCC, warga PMU dan komuniti setempat yang telah menjayakan inisiatif murni ini.

Jangan buang, kumpul dan jual! Satu tindakan kecil, impak besar untuk masa depan kita.

 

Galeri: