MENARIK DI PMU: SEKITAR PROGRAM BIODIVERSITY DAY 2026!

Bagi menyokong agenda kelestarian SmartGreen Kampus, JK SmartGreen PolyCC Politeknik Mukah (PMU) telah berjaya menganjurkan program Biodiversity Day yang berlangsung dari 11 Mei hingga 17 Mei 2026.

Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi menghargai ekosistem hijau kampus serta memupuk rasa tanggungjawab warga PMU terhadap alam semula jadi. Antara pengisian utama yang mendapat sambutan yang amat menggalakkan ialah Pertandingan Fotografi Biodiversiti Kampus. Melalui aktiviti interaktif ini, warga PMU yang terdiri daripada pensyarah, staf dan pelajar telah mengambil inisiatif untuk merakam keindahan flora dan fauna di sekitar kawasan zon EKSA kampus serta menghantar penyertaan mereka secara digital melalui imbasan kod QR.

Tahukah anda? Program berimpak tinggi ini telah dilaksanakan dengan kos yang amat minimum (sifar kos) dengan memanfaatkan infrastruktur hijau sedia ada di kampus secara optimum. Di samping memelihara ekosistem hijau yang bertindak sebagai penyerap karbon semula jadi, penganjuran program ini turut menyumbang secara langsung kepada peningkatan skor dokumentasi kelestarian PMU dalam kategori Setting & Infrastructure bagi UI GreenMetric dan MPCCSustAward.

Usaha ini juga sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang berikut:

  • SDG 4 (Pendidikan Berkualiti): Memberi pendedahan dan pendidikan berkaitan kelestarian kepada warga kampus.
  • SDG 13 (Tindakan terhadap Perubahan Iklim): Menyokong usaha mengekalkan keseimbangan iklim melalui pemeliharaan kawasan hijau.
  • SDG 15 (Kehidupan di Darat): Memelihara, memulihara dan menggalakkan penggunaan mampan ekosistem daratan serta membendung kehilangan biodiversiti.

Sekalung penghargaan dan tahniah diucapkan kepada Pengarah Program, Pn. Nurul Asmahanie binti Osman, barisan jawatankuasa JK SmartGreen PolyCC PMU serta seluruh warga kampus yang telah menunjukkan keprihatinan dan menjayakan inisiatif murni ini.

Teruskan usaha dan komitmen kita dalam mengekalkan warisan semula jadi kampus!

 

Galeri: