Program: SmartGreen Earth Hour - Energi Masa Depan
29 Jun 2024
Warga Politeknik Mukah (PMU) telah berjaya melaksanakan program Smartgreen Earth Hour: Energi untuk masa depan bagi tahun 2024. Program ini telah diselaraskan oleh Jawatankuasa SmartGreen POLYCC, PMU dan telah dibantu oleh Unit Pengurusan Kolej Kediaman, Unit Khidmat Pengurusan, Unit Pembangunan dan Penyelenggaraan Fasiliti, Jawatankuasa Warden Kolej Kediaman seta Penyelaras Keselamatan dan Kesihatan Pekerja.
Program ini telah dilaksanakan pada jam 8.30 hingga 9.30 malam yang mana semua warga PMU telah menutup suis lampu di kediaman masing-masing. Di kolej kediaman, pihak Unit Pembangunan dan Penyelenggaraan Fasiliti telah bertanggungjawab menutup suis utama semasa program berlangsung. Di kawasan pentadbiran serta bangunan akademik pula, penutupan suis telah dilaksanakan oleh pihak pengawal keselamatan. Di kawasan Pusat Islam pula, ahli kariah telah menutup suis lampu sebaik sahaja selesai menyempurnakan solat Isyak.
Menurut Pengerusi Program, program ini diadakan adalah bertujuan untuk menekankan kepentingan teknologi hijau dalam mengurangi jejak karbon di institusi dan komuniti. Selain itu, program ini juga dapat mendorong individu dan komuniti PMU untuk mematikan lampu selama satu jam sebagai tanda penggunaan elektrik secara berhemah. Di samping itu, kesedaran tentang kepentingan penjimatan elektrik dapat dipertingkatkan.
Program ini disokong penuh oleh Sophian bin Sout, Timbalan Pengarah (Sokongan Akademik) bagi mewakili Pengarah Politeknik Mukah. Beliau sangat mengharapkan agar program secara tahunan ini diteruskan lagi untuk masa akan datang agar warga PMU lebih cakna tentang penggunaan elektrik secara berhemah. Beliau turut mencadangkan agar program yang menjurus ke arah penjimatan elektrik di kampus PMU dapat dilaksanakan juga selain daripda program yang sedia ada.
Pihak urusetia program mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh warga PMU di atas komitmen dan kerjasama padu yang telah ditunjukkan sepanjang program berlangsung.
Galeri: