Program: PMU Lestari 2025: Politeknik Mukah dan Sarawak Energy Semarakkan Inisiatif Kampus Hijau
20 Jun 2025
Politeknik Mukah (PMU) telah menganjurkan Program PMU Lestari 2025 bertempat di Green Park, kampus PMU dengan kerjasama strategik daripada Sarawak Energy Berhad (SEB). Inisiatif ini bertujuan memupuk budaya kelestarian alam sekitar serta menyokong agenda hijau negara.
Program yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari ini telah menghimpunkan warga PMU termasuk pelajar, pensyarah, dan kakitangan pengurusan bagi merealisasikan misi kampus hijau melalui aktiviti penanaman pokok, sesi interaksi komuniti serta perasmian ruang lestari baharu kampus.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Timbalan Pengarah (Sokongan Akademik), En. Sophian bin Sout, diikuti oleh ucapan wakil dari Natural Resources and Environment Board (NREB) Sarawak yang turut menyatakan sokongan terhadap inisiatif berimpak tinggi ini. Antara pengisian utama program termasuk gimik perasmian, penanaman pokok simbolik hasil sumbangan SEB, serta penandatanganan plak peringatan sebagai tanda kenangan.
Pengerusi Jawatankuasa SmartGreen PolyCC PMU, Pn. Nuwairani Azurawati binti Siha menjelaskan bahawa program ini merupakan platform penting untuk warga PMU menghayati nilai-nilai kelestarian sambil memperkukuh jaringan kerjasama strategik bersama pihak industri dan komuniti setempat.
“PMU Lestari bukan sekadar inisiatif fizikal untuk menghijaukan kampus, tetapi juga mencerminkan komitmen institusi terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya dalam aspek pengurusan biodiversiti, tindakan terhadap perubahan iklim, dan kerjasama strategik,” ujar beliau.
Program ini juga sejajar dengan usaha PMU untuk mencapai penarafan MPCC SustAward dan UI GreenMetric World University Rankings, seterusnya mengangkat nama PMU sebagai institusi TVET yang proaktif dalam mendukung agenda kelestarian negara.
Majlis diakhiri dengan sesi bergambar kenangan dan jamuan ringan, menandakan penutup kepada satu program yang bermakna serta penuh inspirasi.
Galeri: